Nuffnang Ads

Thursday, November 27, 2014

Korek-korek Dyslexia

Sejak nampak Alya tulis terbalik-balik...saya ada la jugak tanya Mr Google sikit-sikit pasal masalah anak saya ni. Iyer la, takut la jugak kan...andai kata betul, nak kena bawak dia gi jumpa specialist la. Kena bagi dia proper treatment..

Tapi macam mana pun...kita ni sekadar tanya Mr Google jela kan. Nak dapatkan kepastian kena la bawak gi jumpa pakar kanak-kanak. Hanya diorang je yang boleh nak sahkan dan bagi proper treatment.

Jadi, di sini saya nak kongsi la sikit hasil korek-korek saya =)

Dyslexia : Bagaimana kenalpasti dan membantu ?

Kebiasaannya perkara pertama yang ibu bapa fikirkan mengenai Dyslexia adalah anak menulis secara terbalik seperti “mirror image” atau anak sukar membaca kerana nampak perkataan atau huruf itu bergerak-gerak seperti di dalam watak cerita “Percy Jackson”.

Dyslexia adalah orang yang mempunyai masalah di dalam pembacaan tetapi bijak di mana IQ  sama atau lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.


Kadang kala pelajar-pelajar Dyslexia di sekolah akan dianggap lembap oleh guru dan rakan-rakan kerana sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keyakinan diri seorang kanak-kanak.

dyslexia2Tahukah anda bahawa orang-orang terkenal seperti Albert Eistein, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, penulis Hans Christian Anderson, pelakon Tom Cruise dan Orlando Bloom adalah orang yang mempunyai Dyslexia.

Oleh yang demikian dengan bantuan awal yang betul, kita boleh membantu kanak-kanak Dyslexia untuk menguasai  bidang pembelajaran mereka.

Tanda-tanda Dyslexia boleh dikenal pasti seawal umur 5 ½ tahun. Tidak kurang juga ada yang baru dikenalpasti semasa umur persekolahan. Tidak semua kanak-kanak Dyslexia akan mempunyai tanda-tanda yang sama.

Antara simtom-simtom Dyslexia adalah:

  1. Sukar memasang butang atau mengikat tali kasut
  2. Tersalah pakai kasut
  3. Cuai di dalam pergerakan “clumsy” dan mudah jatuh
  4. Menghadapi masalah untuk melompat (hop & skip)
  5. Menghadapi masalah untuk menangkap, membaling dan menendang bola
  6. Menghadapi kesukaran untuk memahami arahan seperti atas/bawah, dalam/ luar, depan/belakang
  7. Sukar untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa
  8. Mungkin mempunyai sejarah lewat bercakap
  9. Pertuturan yang tunggang langgang seperti “padah sawi” untuk sawah padi
  10. Sukar menyebut perkataan yang banyak suku kata seperti “hospital” untuk hospital.
  11. Sukar menamakan objek
  12. Keliru antara kiri dan kanan
  13. Bahagian anggota tangan yang dominan tidak dapat dikenal pasti
  14. Tulisan tangan yang tidak kemas dan mempunyai banyak huruf / perkataan yang terbalik (contoh huruf b/d, u/n, p/q, m/w )
  15. Tidak boleh menyalin daripada papan putih / papan hitam dengan betul
  16. Sukar untuk mengingat hari,tarikh lahir, alamat, nombor telefon
  17. Sukar mengenal masa / membaca jam
  18. Keliru perkataan “semalam” atau “esok”
  19. Sukar mengingati turutan sesuatu perkara. Contoh: turutan hari Isnin-Ahad, bulan Januari – Disember.
  20. Sukar membaca secara fonik
  21. Berasa mudah penat kerana menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi  tetapi membuahkan hasil yang sedikit. Oleh yang demikian kanak-kanak mungkin akan mengelat apabila tiba masa untuk belajar

Kajian telah membuktikan bahawa diagnosa dan terapi yang cepat dapat membantu kanak-kanak Dyslexic dengan lebih bagus.


dyslexia3
Kini di sekolah rendah kerajaan terdapat program LINUS (saringan literasi dan numerasi) di mana ujian akan dilakukan untuk mengenal pasti pelajar yang bermasalah di dalam pembacaan dan pengiraan. Di dalam program tersebut terdapat modul untuk menyaring pelajar-pelajar dyslexia.

Jika ibu bapa atau guru-guru telah mengenal pasti anak-anak  yang mempunyai ciri-ciri dyslexia , anda bolehlah pergi berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan dimana mereka akan membuat penilaian dan seterusnya akan membuat rujukan hospital ke doktor pakar kanak-kanak atau pakar perkembangan kanak-kanak (Developmental Pediatrician) sekiranya terdapat di hospital itu.

Sebelum diagnosa Dyslexia dibuat, kadang kala kanak-kanak tersebut perlu menjalankan ujian pendengaran, penglihatan atau ujian IQ untuk memastikan pelajar bukan “slow learner” atau lewat perkembangan global.

Sesetengah daripada mereka akan dirujuk ke terapi pertuturan atau terapi cara kerja (occupational therapist).

Setelah itu, perbincangan dengan ibu bapa akan dibuat untuk membuat keputusan samada pelajar boleh dimasukkan ke sekolah yang mempunyai kelas  khas dan mendaftar mereka sebagai kanak-kanak berkeperluan khas.

Di Malaysia juga terdapat organisasi bukan kerajaan iaitu Persatuan Dyslexia Malaysia yang berpusat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Persatuan ini boleh membantu ibu bapa dan terutamanya kanak-kanak Dyslexia.

Rujukan:


(answered by Dr Juliana Hashim)

Daripada simptom-simptom kat atas tu, ada yang kena kat Alya & ada yang tak, Jadi memang sebaiknya kena bawak dia berjumpa dengan pakar kanak-kanak, baru lah semua teka teki ni terjawab =)

xoxo,

Najah Salwa
019.676.8776